6 Anggota Bomba Maut Ketika Operasi Menyelamat Mangsa Lemas

Bomba Lemas Ketika Operasi Menyelamat

6 anggota Bomba Maut akibat lemas ketika operasi menyelamat  di sebuah lombong, Taman Putra Perdana, Puchong, malam tadi. Mereka adalah dari Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, berkata ketika kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, ketika mereka mula untuk menjejaki seorang remaja berusia 17 tahun, yang dilaporkan terjatuh ke lombong itu jam 5 petang semalam.

Sebelum itu, remaja lelaki yang berusia 17 tahun dikhuatiri lemas selepas tergelincir dan terjatuh ke dalam lombong berkenaan ketika memancing bersama dua lagi rakannya. Kejadian berlaku ketika ketiga-tiga mereka sedang melakukan persiapan untuk memancing. Tiba-tiba salah seorang dari mereka (mangsa) terjatuh ke dalam lombong.

Pihak Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.19 petang sebelum lapan pegawai dan anggota sampai di lokasi 30 minit kemudian untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa.

remaja lemas
Remaja yang lemas (berpakaian seragam sekolah)

Abdul Aziz berkata, setelah 5 minit berada di dalam air, secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan semua mangsa terbelit tali yang dipasang di antara satu sama lain, yang dipercayai menjadi punca peralatan menyelam dipakai mereka tertanggal.

Beberapa anggota bomba yang berada di tebing, berusaha menarik tali yang mengikat semua mangsa setelah menyedari detik cemas yang dialami oleh rakan mereka itu, namun tidak berjaya kerana berdepan tekanan arus yang sangat kuat.

Walau bagaimanapun mereka berhasil menarik naik mangsa yang pertama, sebelum disusuli yang lain selepas berusaha selama kira-kira 30 minit. Ketika dibawa naik ke tebing, semua anggota penyelam berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Jenazah anggota bomba yang terkorban

“Anggota paramedik yang berada di lokasi ketika itu turut cuba memberi rawatan kecemasan termasuk bantuan pernafasan (CPR) selama 30 minit, namun semua mangsa tidak memberi sebarang tindak balas sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

ENAM anggota bomba yang lemas itu adalah empat (4) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan dua (2) dari Balai Shah Alam.

Empat anggota BBP Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34: Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24. Manakala dua (2) anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

anggota bomba lemas
Anggota Bomba yang terkorban. Sedekahkan Al-fatihah kepada mereka semoga roh mereka ditempatkan di kalangan orang beriman.

Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menziarahi jenazah enam anggota bomba berkenaan di Hospital Serdang jam 12.30 tengah malam ini.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, operasi mencari remaja yang hilang buat masa ini ditangguhkan ekoran cuaca gelap dan akan disambung pada pagi ini.

“Buat masa ini, remaja yang hilang itu masih belum dijumpai dan operasi mencarinya akan disambung jam 8 pagi nanti. Operasi pagi nanti akan dijalankan secara bersama oleh bomba dan Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang”.

VIDEO:

Sumber: Hmetro dan Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *