Jangan Dianggap Beban Berbakti Kepada Ibu Bapa

berbakri kepada ibu bapa

KISAH ibu bapa diabaikan anak-anak banyak yang berlaku. Ianya pasti menjadi isu yang menyayat hati siapa sahaja. Di negara kita, setiap tahun jika ada iklan perayaan sering menggunakan sentimen ini. Tujuannya adalah ingin memberi kesedaran kepada anak-anak supaya berbakti kepada ibu bapa disamping bagi meraih simpati dan perhatian masyarakat

Alasan kehidupan terlalu mencabar dan situasai sukar yang dihadapi menyebabkan mereka mengabaikan orang tua mereka. Sebenarnya mereka bertambah susah dan hilang keberkatan kerana berbuat demikian.

Secara sengaja atau tidak, sedar atau tidak, memelihara orang tua dianggap menjadi bebanan kepada anak-anak tidak kira anak yang masih bujang atau yang sudah berkeluarga. Anak yang bujang sering memberi alasan mereka baru bekerja dan tidak mempunyai pendapatan yang cukup bagi memelihara ibu bapa yang semakin tua dan mengharapkan mereka.

berbakti kepada orang tua
walau anda sudah berkeluarga, jangan jadikan alasan supaya tidak berbakti kepada ibu bapa

Manakala anak yang berkeluarga pula akan menjadikan kos sara hidup semakin tinggi dan rumah yang sempit sebagai alasan yang memungkinkan mereka tidak dapat memelihara ibu bapa mereka. Lebih sukar lagi jika pasangan tidak sukakan ibu bapa mentua bersama mereka.

Episod luka ibu bapa yang disisihkan anak-anak akan berterusan tanpa kesudahan. Benar kata bidalan, ibu bapa mampu membela sepuluh anak, tetapi sepuluh anak belum tentu mampu menjaga ibu bapanya.


Dalam Surah al-Isra, ayat 23-24 Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu tidak menyembah kecuali kepada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baik kebaktian. Sekiranya salah seorang atau kedua-duanya telah tua dalam peliharaanmu, jangan sesekali kamu berkata kepada mereka ‘ah’, dan jangan kamu membentak mereka. Bercakap dengan mereka perkataan yang mulia. Rendahkan diri kamu di hadapan mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkan, ‘Wahai Tuhan! Kasihilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua mengasihi daku semasa kecilku.”

KEWAJIPAN MENJAGA IBU BAPA

hadits tentang berbakti kepada orang tua
Jika kamu orang yang beriman, maka peliharalah ibu bapa kamu dengan baik

Allah SWT mengingatkan manusia bahawa keimanan kepada-Nya hendaklah diikuti dengan berbakti kepada orang tua. Ini menunjukkan memelihara ibu bapa adalah kewajipan besar selepas ketaatan kepada Allah SWT. Ia juga membuktikan bahawa hanya orang yang beriman kepada Allah SWT akan memelihara ibu bapa mereka dengan baik. Jadi bagaimana mereka yang mengabaikan ibu bapa? Berimankah mereka?

Nabi SAW menegaskan, keredaan Allah SWT kepada seorang hamba bergantung keredaan ibu bapanya sepertimana sabda baginda yang bermaksud:

“Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua orang tua, dan murka Allah juga terletak pada murka mereka.”

Ibu bapa adalah penyebab utama samada anak mereka akan ditempatkan di syurga atau dihumban ke neraka. Rasulullah SAW berkata apabila ditanya mengenai hak ibu bapa terhadap anak mereka:

“Mereka berdua (ibu bapa) adalah syurgamu dan nerakamu.”

Sebagai ibu bapa, pernahkah anak anda yang baru meningkat remaja mula bersikap biadap dan enggan mendengar kata anda? Jika pernah mungkin anda berfikir apa yang tak kena. Anda juga mungkin tertanya-tanya bagaimana anak yang diasuh dengan penuh kasih sayang itu tergamak memperlakukan anda sedemikian rupa?

Masalah biasa yang dialami oleh ibu bapa ini mungkin berpunca daripada sikap mereka dahulu terhadap ibu bapa mereka juga. Mereka mungkin pernah bersikap biadap terhadap ibu atau bapa mereka menyebabkan anak mereka juga menjadi biadap dan menderhakai mereka.

Ini jelas berdasarkan sabda Baginda SAW yang dilaporkan oleh At-Thobari:

“Berbaktilah kepada kedua orang tua kamu, nescaya anak kalian juga akan berbakti kepada kalian.”

Baginda juga berkata:

“Lakukan apa sahaja yang kamu mahu, tetapi apa sahaja yang kamu lakukan kepada orang lain, kamu juga akan diperlakukan perkara yang sama.”

KELAPANGAN REZEKI DAN MASA

ayat alquran tentang berbakti kepada orang tua
Secara psikologi, anak-anak biasanya terikut-ikut dengan cara kita

Bagi ibu bapa yang berhadapan dengan anak yang degil dan biadap terhadap mereka, mungkin perlu muhasabah kembali tentang hubungan dengan ibu bapa mereka dahulu. Jika mereka masih hidup, mohon ampun dan berbaktilah kepada mereka sebagaimana mereka pernah berbakti kepada kita.

Dalam psikologi pendidikan, anak yang melihat ibu bapa menghormati dan menjaga datuk serta nenek mengajar mereka untuk melakukan perkara sama kepada ibu bapa mereka.

Kepada anak-anak, walau siapa ibu bapa kamu, janganlah jadikan alasan untuk kamu menderhaka kepada mereka. Ibu bapa bukannya beban yang menyusahkan anak dan menyempitkan kewangan mereka, sebaliknya ibu bapa adalah sumber rezeki Allah SWT.

Rasulullah mendedahkan perkara ini melalui sabdanya yang bermaksud:

“Siapa yang mahu dipanjangkan usianya dan ditambahkan rezekinya, hendaklah dia berbakti kepada kedua orang tuanya dan menyambung silaturahim.”

Begitu juga dalam laporan Tsauban, Baginda SAW bersabda yang bermaksdu:

“Seorang itu tidak memperoleh rezeki kerana dosa yang dilakukannya. Takdir tidak akan tertolak melainkan dengan doa. Tiada yang dapat menambah usia melainkan dengan berbakti kepada kedua ibu bapa.”

PERINGATAN KEPADA ANAK-ANAK

berbakti kepada ibu bapa
Selagi ibu bapa ada, berbaktilah kepada mereka

Bagi anak-anak yang berasa sangat sukar untuk berbakti kepada orang tua kerana kewangan yang sempit, percayalah rezeki itu datangnya daripada Allah SWT. Kebaktian seorang anak kepada ayah dan ibunya tidak bergantung kepada kekayaan dan kelapangan masa tetapi dari keikhlasan.

Ia manifestasi kasih sayang anak kepada orang tua yang pernah berbakti dengan penuh kasih sayang. Berbakti kepada ibu bapa juga menjadi sebab Allah SWT mengampunkan dosa. Salah satu cara untuk bertaubat atas kesalahan dilakukan kepada Allah SWT adalah berbakti kepada ibu bapa yang masih hidup.

CARA BERBAKTI KEPADA ORANG TUA YANG SUDAH MENINGGAL

Dicatatkan, seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan mengaku telah melakukan dosa dan meminta cara bertaubat. Baginda bertanya jika dia masih mempunyai ibu, tetapi ibunya telah meninggal dunia. Lalu baginda bertanya jika dia mempunyai ibu saudara dan dia mengakuinya. Baginda mengarahkannya berbakti kepada ibu saudaranya sebagai taubat kepada Allah SWT. Allahu Akbar.

Jika kita tiada ibu, carilah ibu saudara kita. Berbaktilah kepadanya. Anggaplah dia seperti ibu kita. Allah masih memberi peluang kepada kita. Jangan anda kecewa jika anda merasakan anda kurang berbakti kepada ibu bapa dahulu. Carilah ibu saudara anda dan berbaktilah kepadanya.

Baca Juga – Dulu Jutawan Selepas Jatuh Miskin Semua Tinggalkannya Termasuk Anak Isteri

DILEMA SAMADA PILIH ISTERI ATAU IBU BAPA

berbakti pada orang tua
Suami hendaklah menentukan isterinya boleh menerima ibu mertua

Dilema biasa bagi seorang lelaki apabila terpaksa memilih antara isteri dan ibu bapa, siapa perlu didahulukan? Tidak dinafikan, dalam banyak keadaan, lelaki akan lebih berpihak kepada isterinya jika dibandingkan dengan ibu bapa yang sudah tua.

Keadaan atau dilema seperti ini berlaku sejak dari zaman Nabi Ibrahim as bersama anaknya Nabi Ismail dan malah pada zaman Nabi Muhammad SAW. Dilaporkan, anak Umar al-Khattab pernah mempunyai seorang isteri yang tidak disenangi oleh ayahandanya, lalu diarahkan menceraikan isteri itu, tetapi dia enggan. Lalu Umar menceritakan perkara itu kepada baginda dan dia mengarahkan anak Umar menceraikan isterinya.

Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai siapa lebih berhak ke atas seorang wanita, lalu dia menjawab, suaminya. Aisyah bertanya pula mengenai lelaki, lantas Rasulullah menjawab, ibunya.

Ia tidak bererti seorang lelaki perlu membuat pilihan antara dua wanita yang disayanginya. Sebaiknya dia sepatutnya bijak membimbing isterinya bagi menghormati ibunya dan memberikan tumpuan lebih kepada ibunya tanpa perlu meninggalkan tanggungjawab terhadap isteri.

Semoga bermanfaat kepada kita sebagai ibu bapa dan juga anak. Wallahu A’lam

Sumber: Berita Harian



You May Also Like

About the Author: anakbapak

Saya memang anak bapak dan ibu. Seorang lelaki biasa namun ada perlindungan insurans, takaful dan medical card. Saya suka melancong (travel) terutama ke Korea, Jepun, Eropah dan Australia. Gemar menaiki pesawat tambang murah seperti Air Asia, Malindo, Fire Fly dan Scoot. Berhasrat mahu ke Amerika Syarikat. Makanan kegemaran KFC, Western Food, McDonalds, Masakan India dan Thailand. Kereta Honda tetapi mahu membeli Ferrari atau Lamborghini tetapi tidak mampu. Telefon hanya guna Samsung dan vivo. Dulu pernah guna oppo. Huawei tidak pernah cuba. Suka juga layari laman niaga Ali Baba, e-bay dan Amazon. Berhasrat mahu memiliki banglo mewah kalau ada duit. Orang kata nak banyak duit main forex atau bitcoin tapi saya tidak berani. Itulah serba ringkas tentang saya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!