Nak like punya pasal, kena dua tahun penjara. Inilah yang berlaku di Korea Selatan. Yang kena penjara bukan calang-calang orang tetapi bertaraf gabenor. Jom baca berita selanjutnya bagaimana seorang gabenor dipenjara kerana tipu ‘LIKE’.
Gabenor ini merupakan orang kuat kepada Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in didapati bersalah kerana terbabit dalam skandal mengatur pendapat umum atas talian menjelang pilihan raya presiden pada 2017 yang lalu. Semalam Kim Kyoung-soo, 51, dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas didapati bersalah dalam skandal tersebut.
Beliau didapati bersalah selepas bersekongkol dengan seorang penulis blog bagi menghasilkan lebih daripada 88 juta ‘like’ dan ‘dislike’ pada ruang komentar 76,000 berita.
Beliau terlibat dalam mengatur algoritma Naver yang merupakan portal terbesar Korea Selatan, bagi menonjolkan satu cerita yang cenderung kepada Jae-in yang pada ketika itu merupakan calon presiden. Parti Liberal menang besar selepas Presiden Park Geun-hye yang dikaitkan dengan kes rasuah disingkirkan.
Mahkamah Daerah Seoul Tengah memaklumkan bahawa gabenor tersebut telah mengarahkan seorang penulis blog yang dikenali sebagai Druking untuk melaksanakan rancangan itu dan menyedari wujudnya penggunaan program komputer secara haram.
Kyoung-soo yang merupakan Gabenor wilayah Gyeongsang Selatan bagaimanapun menafikan semua pertuduhan dan akan membuat rayuan namun beliau kini ditahan.
Sehingga berita ini dikeluarkan beliau masih kekal dengan jawatannya. Beliau akan disingkirkan dari jawatan dan dihalang daripada bertanding selama lima tahun sekiranya mahkamah lebih tinggi mengekalkan keputusan tersebut.
Manakala penulis blog pula dipenjara selama tiga setengah tahun atas kesalahan memanipulasi pendapat umum secara haram serta menerima rasuah.
Hakim berkata, Kyoung-soo menerima ‘bantuan yang mencukupi’ daripada Druking dan berjaya mengatur serta mempengaruhi sentimen orang awam menjelang pilihan raya 2017.
Jangan main-main dengan LIKE dan UNLIKE ye. Boleh masuk dalam rupanya. Harap-harap tidak berlaku di dalam negara kita terutama jika ada kepentingan tertentu.
Sumber: Metro