Isteri Jangan Bimbang Jika Nama Tiada Dalam Geran Harta Suami – Peguam

Isteri Boleh Tuntut Harta Yang Tiada Namanya

Setiap orang akan menjalani kehidupan secara berperingkat sehinggalah menuju ke gerbang perkahwinan. Setelah berkahwin masing-masing akan mengumpul harta secara beransur-ansur untuk kehidupan di hari tua. Harta yang dimaksudkan adalah seperti rumah, tanah dan lain-lain aset. Samada harta itu dicari oleh suami atau harta sepencarian.

Dalam membuat harta, mereka akan meletakkan nama pada harta-harta mereka. Ada yang hanya meletakkan nama sendiri, nama suami isteri dan nama anak-anak. Ianya adalah sebagai persediaan di kemudian hari. Kepada kaum wanita, bagaimana jika suami tidak meletakkan nama anda?

harta sepencarian
Encik Salkukhairi Abd Sukor – Peguam

Mari sama-sama kita baca dan fahami penjelasan yang dibuat oleh Salkukhairi Abd Sukor berkaitan dengan harta. Beliau adalah seorang peguam dan merupakan Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia atau HartaGuam.

Teruskan membaca coretan beliau.

MANA LEBIH BAIK: BELI HARTANAH ATAS NAMA SENDIRI ATAUPUN NAMA BERSAMA SUAMI ISTERI?


1. Ada yang bertanya kepada saya, mana lebih baik, sama ada beli hartanah letak nama sendiri atau letak nama bersama suami isteri.

2. Soalan ini ditimbulkan oleh kebanyakan daripada kaum wanita kerana mereka merasa bimbang sekiranya dalam geran hartanah tiada nama mereka, maka hak dan kepentingan mereka terhadap hartanah tersebut tidak dilindungi. Nanti kalau suami kahwin lain atau suami meninggal dunia, hak mereka terhadap hartanah tersebut akan dinafikan.

tuntutan harta sepencarian
Ada yang tertanya-tanya mahu letak atau tidak nama isteri

3. Saya nak nyatakan disini, sama ada anda beli hartanah letak nama sendiri atau letak nama bersama , itu tak jadi masalah. Kedua-duanya bagus.

Yang tak bagusnya adalah, kalau tak nak beli hartanah sebab fikir dan takut dengan macam-macam benda. Antaranya termasuklah contoh yang dinyatakan tadi. Ketakutan melampau itulah yang sebenarnya tidak bagus. Bukan soal letak nama sendiri atau nama bersama.

4. Kaum wanita sebenarnya tidak perlu takut seandainya dalam geran hartanah tidak ada nama mereka.

Ini kerana setiap hartanah yang dibeli oleh suami atau isteri dalam tempoh perkahwinan baik yang didaftarkan atas nama suami atau isteri atau yang didaftarkan atas nama bersama akan dianggap sebagai HARTA SEPENCARIAN.

pembahagian harta sepencarian
Rumah, merupakan aset atau harta penting dan berharga

5. Bila sebut sahaja harta sepencarian, secara automatiknya suami dan isteri mempunyai hak dan kepentingan bersama terhadap harta tersebut.

Baik suami atau isteri, mereka tidak boleh mendakwa hartanah tersebut miliknya seorang semata-mata disebabkan dalam geran tidak ada nama pasangannya.

6. Suami atau isteri boleh menuntut hak masing-masing terhadap hartanah tersebut. Bukan isteri sahaja yang boleh menuntut harta spencarian terhadap hartanah yang dibeli atas nama suami. Suami juga sebenarnya berhak menuntut harta sepencarian yang dibeli atas nama isteri, selagi mana harta tersebut dibeli/ diperolehi dalam tempoh perkahwinan. Kalau rasa tak mahu berkongsi hak terhadap hartanah yang dibeli, jangan kahwin. Duduk sorang-sorang.

7. Cuma yang menjadi persoalannya bukanlah dari segi hak terhadap harta sepencarian tersebut kerana masing-masing ada hak. Tetapi yang menjadi persoalannya adalah dari segi pembahagian terhadap harta sepencarian tersebut. Berapa peratus kah bahagian masing-masing (suami isteri) terhadap harta sepencarian itu.

8. Persoalan tentang bahagian harta sepencarian ini perlulah dibawa ke mahkamah syariah untuk diputuskan. Hanya hakim sahaja yang akan putuskan bahagian masing-masing berdasarkan kepada peratusan sumbangan masing-masing terhadap harta sepencarian tersebut.

Hak isteri dalam harta sepencarian
Setiap keluarga akan mengumpul harta sedikit demi sedikit

9. Walaupun mungkin dalam geran tidak ada nama suami, tetapi memandangkan segala urusan jual beli hartanah tersebut mulai daripada mencari hartanah sampaikan menguruskan hartanah tersebut dilakukan oleh suami, maka sudah pasti si suami juga mempunyai bahagian tertentu terhadap hartanah tersebut. Mungkin boleh jadi separuh bahagian atau kurang daripada separuh bahagian.

10. Begitu juga kalaupun nama isteri tidak ada dalam geran hartanah kerana suami beli guna duitnya sendiri, tetapi disebabkan si isteri telah bekorban menjaga kebajikan suami dan keluarga sehingga membolehkan suami mampu bekerja dengan baik sampai mampu beli hartanah, sudah pasti mahkamah akan mengambil kira bahagian isteri terhadap hartanah tersebut. Boleh jadi separuh bahagian atau kurang daripada separuh bahagian.

11. Kalaupun katakanlah suami secara zahirnya tidak menyumbang langsung terhadap pembelian hartanah tersebut kerana si isteri menggunakan wang beliau sepenuhnya dan suami tidak membantu menguruskan hartanah tersebut misalnya, fakta bahawa si suami perlu bertanggungjawab terhadap nafkah dan kebajikan si isteri dan keluarganya menjadikan beliau juga mempunyai hak dan menyumbang secara tidak langsung terhadap hartanah tersebut.

12. Jadi, semuanya bergantung kepada sejauh mana masing-masing dapat membuktikan sumbangan masing-masing (sama ada secara lansung atau tidak lansung) terhadap harta sepencarian tersebut. Walaubagiamanpun sekiranya masing-masing dapat bertolak ansur dan dapat membuat keputusan bersama secara baik disamping saling meredhoi satu sama lain tentang bahagian masing-masing, atau redho melepaskan hak dan bahagian masing masing secara sukarela, itu adalah lebih baik.

harta sepencarian 2
Setiap wanita mempunyai hak ke atas harta suaminya

13. Oleh yang demikian, sebagai langkah berjaga-jaga, sekiranya anda ada mengeluarkan apa-apa sahaja perbelanjaan terhadap harta sepencarian tersebut, simpan lah bukti seperti resit bayaran dan sebagainya. Atau jika perlu direkodkan setiap sumbangan anda baik secara zahir atau sebaliknya, boleh sahaja ianya direkodkan. Tidak menjadi masalah.

Ini penting untuk membantu memudahkan anda menuntut bahagian masing-masing terhadap hartanah tersebut di kemudian hari sama ada disebabkan penceraian atau kematian.

Jadi selepas ini harap jangan ada lagi yang keliru, nak beli rumah letak nama sendiri atau nama bersama pasangan suami isteri.

Terima kasih,

Salkukhairi Abd Sukor
Timbalan Presiden
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

BACA: KISAH DIPENGHUJUNG USIA

Semoga perkongsian ini membuka mata sesetengah isteri terutamanya isteri yang tidak berani bersuara dengan suami. Jadi jangan lagi bimbang jika harta-harta tidak diletakkan nama anda kerana anda masih berpeluang atau boleh menuntut bahagian anda.

Sumber: Salkukhairi Abd Sukor


You May Also Like

About the Author: anakbapak

Saya akui memang anak bapak. Tapi ibu tidak terkecuali. Berminat buat blog sejak dibangku sekolah. Tak sangka buat blog ni mampu menjana pendapatan. Walau tidak seberapa kerana blog kita ni kecik, kadang-kadang ia membantu. Cita-cita nak travel ke mana saja. Kemudahan ada asalkan ada duit. Tak dapat naik British Airways, naik Air Asia atau Penerbangan Malaysia dah cukup. Makanan kegemaran, apa saja yang halal. KFC, McDonals dan Restoren Makanan Segera yang lain, jarang-jarang. Itu lah serba ringkas. Selamat Membaca blog Anak Bapak

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!