Seperti yang diramalkan, Kedah ungguli Kumpulan A saingan Piala Malaysia pada aksi terakhir apabila menumpaskan Negeri Sembilan 4-2 di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.
Hasil dari kemenangan itu menyaksikan Kedah muncul juara kumpulan dengan 13 mata, diikuti Terengganu FC 12 mata. Pasukan Kedah akan berdepan naib juara Kumpulan B pada suku akhir nanti.
Lang Merah membuka tirai jaringan pada minit ke-17 hasil percubaan pemain sayap Farhan Roslan yang menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Kaharuddin Abdul Rahman selepas menerima hantaran daripada Edgar Bernhardt.
Walau bagaimanapun, asakan pasukan Negeri Sembilan berjaya membuahkan hasil apabila Igor Carneiro menolak masuk pada minit ke-34 selepas menyudahkan hantaran Jose Almir dari sebelah kiri menerusi satu ser4ngan balas pantas.
Kedah kembali mendahului seminit sebelum rehat, menerusi penyerang Fernando Rodriguez yang tidak mensia-siakan peluang dengan meledak gol hasil dari hantaran Jonathan Bauman.
Negeri Sembilan yang bangkit mencipta kemenangan dalam dua perlawanan sebelum ini berjaya menyamakan kedudukan sekali lagi pada minit ke-65 menerusi rembatan kencang Feris Danial Mat Nasir sekaligus berjaya menewaskan penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim.
Kedah kembali di depan apabila pemain gantian Fayadh Zulkifli merembat masuk gol ketiga pada minit ke-77 selepas dua percubaan pertama Bauman terkena benteng Negeri Sembilan.
Bernhardt melengkapkan kemenangan besar dan seterusnya memastikan Kedah ungguli Kumpulan A apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-90 selepas dia dijatuhkan oleh penjaga gol Negeri Sembilan.
Dengan kekalahan di Darul Aman, perjuangan pasukan Negeri Sembilan berakhir di peringkat kumpulan. Namun pasukan ini telah bangkit dari dua kekalahan awal dengan mencapai dua kemenangan berturut-turut. Namun mereka mengharapkan pasukan TFC tewas dan mengatasi Kedah dengna jaringan besar untuk mara.
Sumber & Foto: Metro