KUALA LUMPUR, 15 Sept — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan orang ramai bahawa berkemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP terpaksa dilaksanakan semula jika kes COVID-19 di negara ini menunjukkan peningkatan mendadak.
PKP Terpaksa Dilaksanakan Semula?
Perdana Menteri berkata, jika PKP terpaksa dilaksanakan semula, ia pasti akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara dan kehidupan rakyat sendiri.
“Kita tidak boleh ke mana-mana dan tinggal di rumah sahaja seperti yang sedang dikuatkuasakan di Kota Setar, Kedah pada masa ini. Nauzubillah,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas yang disiarkan secara langsung di beberapa rangkaian televisyen tempatan dan media sosial berkaitan situasi semasa COVID-19 malam ini.
Muhyiddin juga berkata bagi kawasan-kawasan yang mencatatkan kes baharu yang tinggi, kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Bagi mengawal penularan pandemik COVID-19 dari terus merebak, Perdana Menteri mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar terus berwaspada dan tidak leka terhadap peraturan berkaitan kuarantin, pemakaian pelitup muka serta pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang masih berkuat kuasa.
Beliau juga memberi gambaran tentang situasi pandemik COVID-19 secara global yang masih menular secara aktif dan ianya tidak terkecuali terjadi di negara ini.
Menurutnya, kes harian COVID-19 yang direkodkan di negara ini adalah sekitar satu, dua dan adakalanya tiga digit tanpa pernah mencatatkan kes sifar. Ia memberikan gambaran bahawa rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia masih belum dapat diputuskan sepenuhnya.
“Berdasarkan dapatan yang diperolehi oleh para penyelidik dari seluruh dunia dan trend kes yang dilaporkan, jangkitan dijangka berterusan untuk suatu tempoh masa yang agak lama.
Ini mengambil kira faktor pencegahan dan kawalan penularan jangkitan secara berkesan memerlukan rawatan spesifik dan vaksin yang efektif serta selamat untuk digunakan.
Berlandaskan situasi ini, sesiapa sahaja mungkin terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 pada ketika ini,” katanya lagi.
Sumber – BERNAMA via SK
Penutup
Bagi mengelakkan PKP terpaksa dilaksanakan semula, kita sendiri harus memainkan peranan bagi memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi semua SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan. Kita jaga kita, inysa Allah semuanya akan berakhir.